KUCHING: Para pelajar lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) disarankan untuk menceburi bidang pekerjaan dalam sektor swasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, hal ini kerana pekerjaan dalam sektor berkenaan lebih baik.
“Lepasan IPT tidak harus bergantung dengan pekerjaan di sektor awam oleh kerana peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang diminati lebih sengit dan jumlah kekosongan yang ditawarkan sangat terhad.
“Untuk itu, kita harus berani menceburi pekerjaan dalam sektor swasta. Kadang-kadang pekerjaan di sektor berkenaan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan dialog bersama penerima sumbangan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pendidikan Pelajar IPT DUN Demak Laut, baru-baru ini.
Tambahnya, peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan sangat diperlukan di Sarawak apabila kawasan industri minyak dan gas di Samalaju, Bintulu siap yang memerlukan tenaga berkemahiran.
Seramai 20 orang pelajar-pelajar dari tujuh buah kampung dalam Zon Bako yang melanjutkan pengajian di IPT dalam peringkat Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma menerima insentif pendidikan masing-masing dalam majlis itu.
Oleh Nur Ain Otsman