PGA Sarawak, SFC perkukuh kerjasama banteras penyeludupan khazanah negeri

Facebook
WhatsApp
SATU sesi taklimat berkaitan penguatkuasaan hidupan liar, kawasan terlindung serta pemanfaatan peruntukan di bawah AMLA yang berlangsung di Mess Pegawai Kanan Briged Sarawak PGA, Kuching, pada hari ini. Foto Briged Sarawak PGA

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memperkukuh kerjasama strategik bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan eksploitasi khazanah serta sumber semula jadi di negeri ini.

Menurut kenyataan media Briged Sarawak PGA, usaha berkenaan dizahirkan menerusi sesi taklimat berkaitan penguatkuasaan hidupan liar, kawasan terlindung serta pemanfaatan peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sesi berkenaan berlangsung di Mes Pegawai Kanan Briged Sarawak PGA, di sini, hari ini.

Taklimat disampaikan Ketua Seksyen Penguatkuasaan Hidupan Liar dan Kawasan Terlindung Sarawak, Mohamad Nurazlan Jamil dan Ketua Seksyen Bahagian Kuching, David Momammad.

Menurut kenyataan itu, sesi taklimat memberi penekanan terhadap pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dalam menangani jenayah membabitkan hidupan liar, sumber semula jadi dan kawasan terlindung.

Aspek kewangan yang berkait dengan hasil daripada aktiviti haram turut diberi perhatian, khususnya menerusi pemanfaatan peruntukan AMLA bagi membantu pihak berkuasa menjejaki aliran kewangan serta mengenal pasti pihak yang mendapat keuntungan daripada kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada individu yang terlibat secara langsung, malah berupaya membantu pihak berkuasa mengenal pasti rangkaian serta pihak lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

Turut hadir Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai; Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rusdi Inai; pegawai kanan Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA serta anggota daripada pelbagai unit.

Kerjasama antara PGA Sarawak dan SFC memperlihatkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh perkongsian maklumat, risikan dan kepakaran bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan yang mengancam kelestarian khazanah negeri.

Sinergi strategik itu turut membuka ruang kepada pelaksanaan operasi bersepadu yang lebih berkesan, khususnya bagi memutuskan rangkaian penyeludupan dan membanteras perdagangan haram yang boleh menjejaskan kelestarian sumber semula jadi Sarawak.

PGA Sarawak dan SFC akan terus memperkukuh kerjasama serta meningkatkan keupayaan penguatkuasaan bagi memastikan khazanah dan sumber semula jadi negeri ini terus dilindungi daripada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Kerjasama bersepadu, risikan diperkasa, khazanah Sarawak dilindungi demi generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman