SIMANGGANG, 3 Oktober: Ketersediaan bekalan tenaga elektrik dan keutamaan dasar pendidikan percuma menjadikan Sarawak sebagai destinasi pilihan utama pelabur antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendahkan bahawa seorang usahawan dari Jepun baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan beliau untuk meneroka potensi pelaburan dalam pembangunan pusat data pintar di negeri ini.

Menurut Abang Johari, dasar pendidikan percuma Sarawak menarik minat pelabur kerana ia berfungsi meletakkan asas kukuh dalam mempersiapkan modal insan dan rakyat tempatan untuk menguasai kemajuan teknologi tinggi.
“Setelah meneliti dasar-dasar Sarawak, pelabur datang bukan sahaja kerana bekalan tenaga, tetapi juga tertarik dengan dasar pendidikan negeri ini yang mempersiapkan rakyat untuk mencapai kemajuan teknologi yang lebih tinggi melalui pendidikan percuma,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini, hari ini.
Beliau menambah, kombinasi bekalan tenaga yang stabil dan keupayaan negeri melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi pendidikan menjadi pertimbangan utama buat pihak pelabur.
Mengulas mengenai pengumuman pelaburan bernilai AS$50 bilion oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Abang Johari menyifatkan ia sebagai peluang emas bagi Sarawak untuk memperluas sektor teknologi tinggi, termasuk pusat data pintar dan industri semikonduktor.
Dengan pembangunan ekosistem teknologi dan penyediaan tenaga kerja tempatan yang cekap, Sarawak berada pada landasan tepat untuk menjadi hab teknologi dunia, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Justeru, pembangunan infrastruktur serta modal insan terus diberi keutamaan supaya anak tempatan dapat terlibat secara langsung dalam industri berteknologi tinggi ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Sarawak akan terus mempergiat pembangunan di kawasan luar bandar menggunakan pendekatan dan keupayaan kewangan negeri sendiri.
Beliau menjelaskan, pendapatan negeri yang kini melonjak sehingga RM15.09 bilion, lebih dua kali ganda berbanding sekitar RM7 bilion pada awal pentadbirannya membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai projek infrastruktur, termasuk yang pernah dibatalkan atau berdepan kekangan sebelum ini.
“Nasib baik Sarawak mempunyai sumber kewangan sendiri. Kita mempunyai pendekatan tersendiri untuk membangunkan kawasan luar bandar dan meningkatkan pendapatan rakyat,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, keutamaan kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan setiap hasil negeri dikembalikan semula kepada rakyat menerusi peningkatan kemudahan asas, taraf pendidikan, infrastruktur, dan pembukaan peluang ekonomi yang menyeluruh di seluruh kawasan negeri.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh.
Selain itu Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Oleh Adi Safarman




