SIBU: Seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menerima manfaat daripada Program Kembali ke Sekolah anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif itu secara langsung membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan.
Menurutnya, program berkenaan bukan kali pertama dianjurkan, malah PEKEMA sebelum ini turut melaksanakan pelbagai program bagi membantu pelajar.
“Bagi pihak DUN Nangka dan kementerian, saya mengucapkan terima kasih kepada PEKEMA kerana terus membantu pelajar, terutamanya daripada keluarga B40.
“Program seperti ini amat berguna kerana sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban keluarga, selain memberikan penghargaan kepada pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembali ke Sekolah yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, daripada 13 sekolah di kawasan DUN Nangka, empat sekolah yang menerima sumbangan menerusi program berkenaan mempunyai jumlah pelajar yang lebih ramai.
“Baki sembilan sekolah mempunyai jumlah pelajar yang lebih kecil, iaitu kurang daripada 500 pelajar secara keseluruhan.
“Bagaimanapun, hari ini mereka telah memberikan sumbangan kepada 500 pelajar dan saya telah meminta supaya jumlah itu ditambah lagi. Mereka juga bersedia untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, bantuan berkenaan diharap dapat menjadi satu bentuk penghargaan kepada pelajar, selain menyuntik semangat untuk mereka mencapai keputusan akademik yang lebih baik.
“Saya harap bantuan ini dipulangkan semula dalam bentuk kejayaan, dengan pelajar berusaha mendapatkan keputusan dan pencapaian akademik yang terbaik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Annuar berkata, pelajar di Sarawak kini mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan tidak seharusnya berasa ragu-ragu terhadap peluang pendidikan yang tersedia.
“Di Sarawak, kita mempunyai banyak peluang. Persoalannya bukan lagi mengenai kesejahteraan pendidikan, tetapi sama ada kita mahu merebut peluang itu dan mencapai kualiti pendidikan yang terbaik.
“Sebagai contoh, kita mempunyai Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS). Saya telah memberitahu semua guru besar di DUN Nangka supaya sekurang-kurangnya lima pelajar daripada setiap sekolah mendapat peluang untuk memasuki YSISS,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperluaskan peluang pendidikan berkenaan akan terus diperkasakan dengan mengambil kira kedudukan sekolah dan institusi pengajian tinggi yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, kita akan menambahkan jumlah pelajar kerana sekolah hanya dekat di sini dan universiti juga berada berdekatan.
“Dengan semua peluang ini, saya berharap para pelajar mempunyai motivasi untuk belajar dengan lebih gigih dan membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi.
Oleh Akun Giman





