ADI SAFARMAN
KABONG: Peka dengan pengorbanan petugas di barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong menghulurkan sumbangan makanan dan minuman kepada pasukan keselamatan yang menjaga kawalan operasi di sekitar kawasan Kabong.
Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir berkata, Program Khidmat Masyarakat tersebut telah mendapat kerjasama daripada Family W Supermarket Kabong.
Sumbangan tersebut katanya, telah disampaikan kepada Klinik Kesihatan Kabong, Balai Polis Kabong dan juga Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kawasan Kabong.
“Sumbangan berupa 30 kotak air mineral, lima kotak biskut kering dan 10 kotak mi segera bagi membantu barisan hadapan ini bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19 di Kabong sehingga 31 Mac ini.
“Ia sekaligus merupakan tanda penghargaan pihak kami iaitu Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan,” katanya.
Kata Nur Elffi, sumbangan itu walaupun tidak seberapa namun ia amat bermakna dan sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berkorban untuk rakyat Malaysia.
“Pihak kami merakamkan penghargaan atas sumbangan bakti mereka yang berada di barisan hadapan dalam membenteras penularan Covid-19.
“Kita berdoa semoga semua yang terlibat menangani kes Covid-19 ini sentiasa dilindungi dan juga seluruh rakyat sentiasa sihat tanpa jangkitan,” katanya.
Dalam pada itu, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir menyeru seluruh masyarakat di Kabong sentiasa menjaga kesihatan dan memastikan penjagaan kebersihan diri di tahap tertinggi.
“Kita juga perlu sentiasa mematuhi segala arahan kerajaan dari semasa ke semasa bagi menangani wabak ini dari terus merebak dan menjangkiti lebih ramai,” katanya lagi.
Beliau turut mewakili seluruh warga N.40 Kabong ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat agar berganding bahu bersama kerajaan memerangi wabak ini.
“Patuhilah arahan kerajaan agar pandemik bahaya ini tidak terus menular sehingga mengorbankan lebih banyak nyawa,” katanya.