MADRID, Sepanyol: Ramai penyokong Real Madrid kecewa apabila kelab itu melanjutkan kontrak Vinicius Junior pada musim panas ini, susulan spekulasi bahawa pemain berkenaan mungkin berpindah ke Arsenal.
Pemain Brazil itu kekal sebagai antara tonggak penting era moden Madrid, selepas menjaringkan gol kemenangan dalam final Liga Juara-Juara pada 2022 dan sekali lagi meledak ketika Madrid menjuarai kejohanan berprestij itu pada 2024.
Namun, bersama bintang seperti Kylian Mbappe dan Jude Bellingham, usaha untuk mencari keseimbangan dalam pasukan yang dibina berasaskan tiga pemain yang lebih tertumpu kepada serangan terbukti sukar bagi Los Blancos.
Carlo Ancelotti, Xabi Alonso dan Alvaro Arbeloa gagal menyelesaikan masalah itu dan masing-masing meninggalkan kelab berkenaan dalam tempoh dua musim lalu, selepas gagal memenangi trofi utama sejak ketibaan Mbappe.
Bagaimanapun, Presiden Madrid, Florentino Perez, sejak sekian lama memberikan sokongan kepada Vinicius.

Pemain sayap itu menjadi pilihan beliau ketika ditandatangani pada usia 16 tahun pada 2017 dan selepas membantu Madrid memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara, Vinicius kekal sebagai sebahagian penting dalam perancangan Perez.
Jurulatih berpengalaman, Jose Mourinho, dibawa kembali ke Santiago Bernabeu, antara lain untuk memastikan barisan pemain berbakat Madrid dapat digabungkan dengan baik serta memulihkan keadaan selepas kempen 2025/26 yang penuh kekecohan.
Jurulatih dari Portugal itu mengakui tugas berkenaan bukan mudah, namun percaya beliau mampu mencari penyelesaian.
“Dari segi taktikal, ia mungkin sukar… (tetapi) mereka tidak bermain di posisi yang tidak serasi,” kata Mourinho pada Ogos lalu.
Vinicius mencatat permulaan yang memberangsangkan dari segi statistik, namun masih belum menemui semula ketajaman yang menjadikannya antara penyerang paling digeruni di Eropah.
Mourinho berkata Vinicius masih belum mencapai prestasi terbaiknya selepas kemenangan 2-1 Liga Juara-Juara ke atas Inter Milan pada Selasa, walaupun beliau memuji usaha keras pemain Brazil itu.
Pemain sayap berkenaan turut diejek oleh sebahagian penyokong pada babak kedua sebelum digantikan pada penghujung perlawanan.
Mourinho menghampirinya ketika pemain itu meninggalkan padang dan menemaninya menuju ke bangku simpanan sebagai tanda sokongan.
“Dia layak mendapat segala penghormatan daripada saya. Dia belum berada pada prestasi terbaiknya dan kita semua dapat melihatnya,” kata Mourinho.
“Dia orang pertama yang menyedarinya dan sedang bekerja keras untuk menjadi Vinicius yang mampu menentukan keputusan perlawanan demi perlawanan.
“Walaupun belum mencapai kemuncaknya, dia bekerja lebih keras berbanding sebelum ini, sama ada dalam latihan atau perlawanan.”
Mourinho mengimbas semula jaringan penyerang itu ketika menentang Benfica musim lalu, apabila Vinicius menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan untuk menyingkirkan kelab Portugal tersebut.
“Vini yang berada pada prestasi terbaiknya mampu menentukan perlawanan,” kata Mourinho.
“Seperti yang pernah dilakukannya terhadap saya ketika saya bersama Benfica.”
Kembali Ke Landasan
Kemenangan ke atas Inter memberikan suntikan semangat kepada Madrid selepas tewas 0-1 kepada Real Betis dalam saingan La Liga minggu lalu, yang merupakan kekalahan pertama mereka musim ini.
Mereka kini kembali memberi tumpuan kepada saingan liga utama Sepanyol itu apabila menjadi tuan rumah kepada Rayo Vallecano pada Sabtu, dengan menyedari bahawa mereka tidak mampu melakukan kesilapan lagi jika mahu terus mengejar juara bertahan Barcelona di puncak liga.
Vinicius menegaskan beliau mampu bermain bersama Mbappe dan berkata Mourinho membantunya meyakini bahawa tiada tempat yang lebih baik untuknya selain Real Madrid.
Sementara itu, Mourinho menekankan kepentingan kesediaan penyerang itu untuk bekerja ketika pasukan tidak menguasai bola.
“Apabila dia tidak dapat bertahan, ia disebabkan keletihan, tetapi dia memberikan usaha yang sangat baik sepanjang perlawanan,” kata Mourinho.
“Saya perlu menghargainya dan saya amat menghormati Vini Junior yang saya temui.
“Masanya akan tiba apabila dia mampu menentukan perlawanan.”
Usaha itu lebih ketara ketika menentang Inter apabila Vinicius melakukan sembilan pemulihan bola, walaupun beliau sendiri gagal menyerlah dalam serangan. Namun, penyokong yang mengkritiknya di Bernabeu tidak semestinya menghargai usaha tersebut.
Bagi Mourinho, kerja keras itu mungkin sudah memadai untuk jangka pendek sementara beliau berusaha mencari versi Vinicius yang lebih tajam dan berbahaya. – AFP




