MATU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
akan merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang
Igan yang menelan kos RM285 juta, pada Sabtu ini nanti.
Projek jambatan ini merupakan salah satu penghubung yang
sangat penting bagi melengkapi jaringan jalan pesisir di negeri ini.
Jambatan ini berfungsi sebagai penghubung laluan Daro dan
Mukah , jadi apabila siap nanti ia dapat mengurangkan jarak dan
masa perjalanan dari Daro ke Mukah.
Projek ini telah diamanahkan kepada Syarikat Kontraktor Wisma
Sdn Bhd, dengan Perunding C.F selaku konsultan, manakala
tempoh kontrak adalah selama 42 bulan.
Skop projek ialah pembinaan jambatan dengan anggaran
sepanjang 1360 meter dengan jalan dua lorong, pembinaan jalan
tuju JKR R5 Standard dengan anggaran sepanjang 1,400meter
dari Oya ke Igan, pembinaan jalan tuju JKR R5 Standard dengan
anggaran sepanjang 700 meter dari Matu ke Daro,
penambahbaikan jalan tuju sedia ada dari JKR R3 Standard
kepada JKR R5 Standard dengan anggaran sepanjang
1,300meter di Oya-Igan dan simpang jalan sedia ada serta
pembinaan jambatan kecil sepanjang 30 meter di Sungai Parit.
Rangkaian jalan pesisir merangkumi sembilan jambatan iaitu
Jambatan Batang Rambungan, Jambatan Batang Lupar,
Jambatan Sungai Krian, Jambatan Batang Igan, Jabatan Batang
Rajang, Jambatan Saribas, Jambatang Batang Paloh, Jambatan
Muara Lassa dan Jambatan Jepak.
Sementara itu, Abang Johari dijangka tiba di tapak perasmian
projek jambatan ini di Pasar Igan pada 10.00 pagi dan terus
mengunjungi bilik pameran di sana.
Selepas simbolik perasmian, Abang Johari akan menyampaikan
pampasan tanah Projek Pembinaan Jalan Kampung Igan ke
Rumah Panjang Sg. Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang
Igan, Fasa 1 serta penyampaian Surat Setuju Terima kepada
kontraktor.
Ia diikuti dengan Upacara Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan
Batang Igan di Pengkalan Feri Igan, lawatan ke tapak Projek
Benteng Kawalan Hakisan Tebingan Sungai Igan, lawatan dan
perasmian Projek Tapak Kaul Igan, lawatan kerja ke Projek
Perumahan Spektra Permata Igan dan lawatan serta perasmian
Sub-Station Pertanian Igan.
Oleh Henry B Siyu