KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih perlu bekerja keras walaupun mampu melakar keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kepimpinan PBB terutama diperingkat akar umbi tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan pilihan raya lepas.
Malah menurutnya, kerjasama antara kepimpinan PBB negeri, cawangan dan ranting perlu terus diperkasa agar segala gerak kerja dapat dilaksana secara berkesan.
“Pada setiap kali pilihan raya, cabarannya berbeza dan kita perlu peka dengan keadaan semasa.
“Jadi kita tetap perlu bekerja keras bagi memastikan PBB melakar keputusan cemerlang,” katanya pada Randau GPS-PBB DUN Pantai Damai di Pusat Tempat Mengundi (PTM) Rampangi malam kelmarin.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, PBB Cawangan Pantai Damai bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRN12.
“Kita memang sudah bersedia selesai sahaja pilihan raya lepas ,tetapi tiada istilah hendak pilihan raya baru turun padang dalam perjuangan kita,” ujarnya.
Tambahnya, petugas jentera PBB juga perlu memahami dan mematuhi garis panduan dan norma baharu dalam PKP semasa pilihanraya kelak.
“Sesetengah pengundi terutama warga emas dan OKU perlu dibantu supaya dapat turun mengundi dengan selesa,” ujarnya.
Beliau melahirkan keyakinan PBB di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dapat sekali lagi melakar keputusan cemerlang pada PRN12.
“Banyak program pembangunan diperkenalkan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) terutama untuk merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Melalui ekonomi digital, pembangunan di Sarawak mampu dipercepatkan selaras dengan sasaran menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.
Hadir sama Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai yang juga Ketua Pusat Tempat Mengundi (PTM) Rampangi Merdehi Mas, Timbalan Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Dayang Nora Abang Sabudin dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai Sebeki Jen.
Oleh Zarina Abdullah