LAWAS: Penduduk di sini boleh melakukan pendaftaran Sarawak ID dan Spay Global bagi tujuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada bila-bila masa di Pejabat Daerah Lawas.
“Kita ada pendaftaran Sarawak ID, dan SKAS hari ini (21 Januari), dan berakhir Khamis ini (23 Januari). Tapi kalau ada yang belum sempat, mereka masih boleh mendaftar di Pejabat Daerah Lawas pada bila-bila masa,” ujar Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas, Awang Ibrahim Ahmat.
“Kita di PBB Bukit Sari mahupun PBB Cawangan Ba’kelalan tahu bahawa banyak inisiatif yang dilakukan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertujuan membantu rakyat di akar umbi.
“Memandangkan banyak kekurangan dan kekangan daripada aspek perhubungan khususnya kita di Lawas sentiasa berdepan dengan komunikasi terhad menggunakan telefon terpaksa menggunakan kaedah asas iaitu menggunakan jentera di setiap ranting untuk menyebarkan sebarang maklumat yang penting,” katanya.
Awang berkata demikian ketika ditemui di Arena Lawas untuk memantau siri pendaftaran Sarawak ID dan SKAS, hari ini.
Awang Ibrahim juga berpesan agar mana-mana agensi yang memohon sumbangan atau bantuan daripada PBB Cawangan Bukit Sari untuk mengemukakan permohonan secara bertulis.
“Ini memudahkan kami menyalurkan bantuan dan juga memudahkan pihak kami merekodkan perbelanjaan untuk di audit pada kemudian hari,” tambahnya.
Beliau bersyukur kerana sesi pendaftaran Sarawak ID dan SKAS di Lawas berjalan lancar walaupun telah menerima kehadiran ramai pemohon sejak 8.00 pagi.
Oleh itu beliau berharap agar penduduk Lawas untuk merancang kehadiran di pusat pendaftaran SKAS ini dengan bijak.
Mengenai masalah gangguan internet di Lawas, perkara ini, jelasnya, telah dimaklumkan kepada Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga ADUN Bukit Sari.
“Kita telah maklumkan masalah internet di Lawas kepada Datuk Amar Awang Tengah pagi tadi melalui pegawai beliau untuk tindakan susulan bagi memudahkan semua urusan rakyat di Lawas,” jelasnya.
Oleh Adeng Edrus