KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi dijalankan di Jalan Kota Samarahan–Tabuan Jaya (Expressway) dari 11.00 malam hingga 2.30 pagi.
Beliau berkata sebanyak 125 kenderaan dan 130 individu diperiksa, manakala tiga individu menjalani saringan alkohol.
“Dua lelaki tempatan didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol dan tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan 28 saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Mohd Irwan Hafiz berkata operasi berkenaan merupakan usaha berterusan polis untuk membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Jangan memandu di bawah pengaruh alkohol. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Oleh Connie Chieng




