SIBU: Pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang berusaha mencari pelbagai cara untuk mengurangkan jumlah projek perumahan ‘sakit’ di Sarawak ke tahap yang minimum.
Timbalan Menterinya, Datuk Michael Tiang, berkata jumlah projek tersebut adalah lebih rendah berbanding di Semenanjung.
“Secara perlahan-lahan, saya akan mengumumkan kepada media mengenai misi yang telah kami capai, beberapa projek sakit yang telah berjaya diselamatkan.
“Namun, itu bukan alasan untuk kita tidak meneliti perkara ini. Kerana seperti yang anda semua tahu ia melibatkan banyak wang hasil titik peluh pembeli rumah.
“Ramai yang hanya membeli satu rumah seumur hidup mereka dan beberapa projek terbengkalai sudah terhenti selama 10 atau 20 tahun, ia amat tidak adil kepada pembeli tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jerayawara Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, walaupun di pihak kerajaan, mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam beberapa syarikat swasta, mereka boleh menggerakkan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas untuk membantu.
“Apa yang kami boleh lakukan adalah membawa kembali pelbagai agensi kami dalam pasukan petugas khas untuk membantu memudahkan pemaju hartanah menyelesaikan projek supaya mereka dapat memberikan produk yang lengkap kepada pembeli rumah.
“Saya tahu ini melibatkan banyak pertikaian undang-undang, tetapi matlamat utama yang disasarkan untuk pembeli adalah untuk mempunyai rumah yang boleh didiami.
“Oleh itu, kami membantu mereka untuk berpindah, tetapi tentu saja, beberapa pertikaian undang-undang, kami serahkan kepada tribunal atau bidang kuasa mahkamah.
“Tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah memastikan projek tersebut selesai dan pembeli dapat berpindah ke rumah impian mereka adalah sasaran kami,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Gambar
RASMI…..Tiang melakukan simbolik perasmian Jerayawara SHEDA di Wisma Sanyan, Sibu hari ini.