
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak terus berusaha dalam mempertingkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 menerusi sembilan projek bernilai keseluruhan RM650,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong berjaya disiapkan mengikut jadual tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek ini telah dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada kemudahan yang lebih baik.
“Pelaksanaan projek ini membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam mempertingkatkan infrastruktur asas bagi kesejahteraan rakyat.
“Saya berterima kasih kepada agensi pelaksana seperti MDMJ yang memastikan setiap projek RTP berjalan lancar,” katanya selepas menyaksikan upacara ringkas penyerahan projek RTP siap di sini, baru-baru ini.


Koung Hiing turut memuji kerja kontraktor yang dilantik melalui cabutan undi kerana berjaya menyiapkan projek mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Antara projek yang telah siap dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan utama ke Rumah Takang/Rumah Janggu (RM100,000), menaik taraf prasarana Klinik Kesihatan Bintangor (RM80,000) serta penyediaan tapak dan jalan ke gelanggang petanque Bintangor (RM100,000).
Katanya, selain itu, beberapa projek menaik taraf jalan kampung, prasarana rumah panjang dan kawasan perkuburan turut siap dilaksanakan.
“Projek RTP merupakan inisiatif strategik kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar dengan memastikan pembangunan infrastruktur yang mampan dan menyeluruh,” katanya.
Turut hadir, Jurutera Awam MDMJ, Nur Hazirah Sadong; Setiausaha Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing dan serta Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek