KUCHING: Pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak menjadi pasak utama dalam memastikan setiap isi rumah di Sarawak mendapat jangkauan bekalan air mencukupi menjelang 2025.
Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, kementeriaannya sedang bertungkus lumus menggalas tugas yang amat berat untuk memastikan pelan ini berjaya dan menepati masa.
“Kita mempunyai ‘anchor’ di beberapa zon seperti Lembaga Air Kuching untuk zon selatan, Lembaga Air Sibu di zon tengah dan zon LAKU di zon utara, dan termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
“Kesemua ‘anchor’ ini berperanan penting dalam memantau dan menyelesaikan permasalahan dan kemelut air yang dihadapi di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Kalau kita lihat di Limbang, JBALB berjaya menggandakan kapasiti bekalan air di kawasan terbabit dan ini adalah satu kejayaan yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberit selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Pelancaran Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 89 peratus daripada kawasan luar bandar telah berjaya menerima bekalan air bersih, manakala di kawasan bandar pula sudah menghampiri 99 peratus.
Tambahnya, ini adalah hasil di bawah alternatif SAWAS (Sistem Alternatif Air Sarawak) yang memfokuskan penyaluran bekalan air bersih untuk diminum kepada penduduk kawasan luar bandar sementara menunggu siapnya jalan penghubung ke kawasan terbabit.
“Setelah Kerajaan berjaya membina jalan penghubung nanti, kita akan membuat penyambungan paip saluran air di sepanjang jalan terbabit.
“Setakat ini kita sudah mempunyai perancangan yang tersusun, termasuk dengan membekalkan kemudahan lain seperti penggalak pam (pump booster) bagi memastikan tekanan air sentiasa mencukupi.
“Tambahan pula, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memberikan dukungan penuh termasuk peruntukan yang besar bagi merealisasikan usaha ini,” ujarnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Rundi turut menegaskan bahawa kementeriannya turut menitikberatkan pemuliharaan sumber air bersih, khususnya melibatkan kawasan pesisir Sarawak.
“Kerajaan turut memberikan tumpuan khusus kepada kawasan pesisir kerana kawasan ini tidak mempunyai sumber air bersih yang mencukupi.
“Oleh sebab itu kita sedang melalukan perincian dan perancangan yang lebih baik agar kita boleh mengekalkan bekalan air bersih yang mencukupi di kawasan terbabit,” jelasnya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP