KUCHING: Penganjuran pasar tani organik Kuching (Kuching Natural Farmer’s Market) yang diadakan di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata jumlah penjaja yang berdaftar di pasar tani itu juga sudah berkembang hingga empat kali ganda sejak ia dianjurkan Oktober 2022.
”Kini sudah terdapat 100 penjual tempatan makanan sihat dan produk tumbuhan yang diluluskan telah didaftarkan melalui pasar tani ini.
”Digelar ‘pasar paling mesra di Kuching’, ia berjaya menarik ratusan orang yang inginkan makanan sihat dan tidak sabar-sabar untuk mencari produk baharu yang menarik setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘2nd Korean & Jadam Nature Farming Workshop And 18th Kuching Natural Farmers’ Market’ di bangunan MBKS, di sini, hari ini.
Wee berkata pasar tani itu juga mampu membantu kerajaan Sarawak untuk mencapai hasrat menjadikan Kuching sebagai bandar raya pintar, kompetitif dan sihat.
”Paling penting, semua produk yang dijual di pasar ini adalah menggunakan kaedah pengeluaran makanan organik semula jadi.
”Faktor ini perlu diambil kira kerana untuk merealisasikan hasrat ini (menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang pintar, kompetitif dan sihat), kita juga memerlukan penduduk yang sihat.
”Justeru, antara langkah penting yang perlu diambil termasuk menyediakan platform kepada masyarakat untuk mendapatkan makanan sihat,” tambahnya.
Di samping itu, Wee turut meluangkan waktu untuk mengedarkan kuih bulan kepada semua peserta sempena perayaan Kuih Bulan yang akan datang.
Turut turun padang menyertai program itu ialah Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA), Datin Donna Drury Wee dan Pengarah Urusan Utusan Sarawak, Ivy Ngo.
Oleh RYNNA SHA’ERRA