KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri bagi penyelarasan menaik taraf fasiliti sukan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, mesyuarat itu akan dilaksanakan selepas penubuhan Jawatankuasa Pengelola dan Sekretariat temasya sukan berkenaan.
“Jadi sehingga kini tidak ada hasrat untuk membina stadium ataupun fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan (penganjuran) Sukan SEA 2027.
“Bagaimanapun, pihak kerajaan akan menaik taraf kemudahan sukan sedia ada untuk kegunaan (Sukan SEA) pada 2027 yang akan datang termasuk di Sarawak selepas diadakan koordinasi dan perbincangan lanjut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai rancangan KBS untuk menambah baik stadium dan fasiliti sukan serta membangunkan perkampungan atlet di seluruh Sarawak bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar.
Menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai proses pemilihan atlet untuk mewakili negara dalam temasya sukan itu dan langkah kementerian untuk memastikan prestasi atlet lebih meningkat dalam Sukan SEA 2025 dan 2027, Adam Adli berkata, pemilihan atlet dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan terlibat.
Beliau berkata, pemilihan atlet dilakukan secara berterusan menerusi pelbagai saluran seperti Sukan Malaysia dan penganjuran pertandingan yang tidak terhad hanya di bawah kendalian KBS tetapi juga anjuran Kementerian Pendidikan serta Majlis Sukan-Sukan Malaysia.
“Paling penting sebenarnya adalah untuk kita pastikan atlet-atlet kita ini sama ada yang saya sebut tadi atlet pelapis menerusi program-program seperti podium dan pelapis ataupun atlet lebih senior yang telah pun ada pengalaman, kita kena sentiasa penuhi keperluan-keperluan mereka.
“Di peringkat kerajaan kita tahu keutamaan kita ialah menyediakan infrastruktur dan ekosistem, pemilihan, latihan dan pembangunan atlet itu tidak terhad hanya kementerian dan majlis sukan, sebaliknya juga melibatkan persatuan-persatuan sukan dalam negara kita,” katanya. – Bernama