Ruang masa pembubaran DUN semakin singkat – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim bercakap kepada media selepas majlis penutupan Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (SWOT) 2026 Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

SANTUBONG, 7 Oktober: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan prerogatif(kuasa) Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persidangan DUN Sarawak yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini penting kerana turut melibatkan pembentangan belanjawan selepas Belanjawan Negara dan seterusnya Belanjawan Sarawak.

“Kalau kita lihat sekarang sudah bulan Oktober, November, Disember. Tinggal berapa bulan lagi. Ia adalah perkara yang diketahui umum bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

“Sama ada selepas Belanjawan Sarawak ataupun mungkin dua minggu selepas itu, ia perlu dibubarkan kerana ruang mesti diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (SWOT) 2026 Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

Abdul Karim berkata, pembubaran DUN boleh dilakukan pada tarikh yang diputuskan oleh Premier dan tidak semestinya menunggu sehingga penggal berakhir.

Selain itu, katanya, sekiranya DUN terbubar secara automatik, SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

“Saya jangka jarang sekali Menteri Besar, Ketua Menteri ataupun Premier membiarkan ia terbubar secara automatik. Biasanya beliau akan membubarkan mengikut tarikh yang dipilih,” katanya.

Untuk rekod, persidangan DUN Sarawak dijadual berlangsung selama 10 hari, bermula 12 hingga 21 Oktober 2026. Persidangan berkenaan merupakan persidangan terakhir bagi penggal semasa sekiranya tiada pembubaran lebih awal.

Oleh Shikin Mahmud