KUCHING: Atlet tuan rumah, Melinda Tiong (gambar) mempamerkan prestasi cemerlang dengan menuai pingat emas acara angkat berat kategori lightweight wanita (bawah 61 kilogram) pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024, hari ini.
Melinda berjaya mencatatkan angkatan keseluruhan sebanyak 183 kilogram (kg), bermula dengan 60 kg pada cubaan pertama, sebelum menambah angkatan kepada 61 kilogram dan 62 kilogram dalam cubaan seterusnya.
Beliau juga mencatatkan purata angkatan 158.955 dengan berat badan 59.90 kg, berjaya mengatasi pesaingnya dan merangkul pingat emas.
Purata angkatan tersebut dikira berdasarkan formula pekali yang digunakan dalam pertandingan antarabangsa dan disediakan oleh Para Powerlifting Dunia.
Dalam pada itu, Aphiradi Singchang dari Perak, yang mempunyai berat badan 53.60 kg, meraih pingat perak dengan jumlah angkatan 168 kg dan purata angkatan 151.591.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh Eng Ling Li dari Johor, dengan jumlah angkatan 123 kg dan purata 146.926.
Eng turut memenangi emas dalam acara angkatan terbaik dengan catatan purata 54.948 melalui angkatan seberat 46 kg.
Pada masa sama, Atlet Sarawak, Rabiatul Adawiyah, tidak berjaya memperoleh sebarang pingat selepas mencatat angkatan 91 kg dengan purata angkatan 89.986.
Oleh Mohd Neenatul Aizal