SIBU: Lebih 140 peserta Kejohanan Golf Amatur Terbuka Sibu Ke-23 diraikan pada majlis makan malam sempena kejohanan berkenaan di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Kapten Kelab Golf Sibu, Wong Lay Nam berkata, kejohanan kali ini disertai pemain dari kelab golf di seluruh Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Brunei.
Menurutnya, sebanyak enam buah kereta bernilai lebih RM100,000 setiap satu ditawarkan sebagai hadiah bagi pukulan selubang (hole in one).
“Ini merupakan kali pertama kami menawarkan hadiah utama pukulan selubang seperti ini dan semua peserta mempunyai peluang untuk memenanginya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, semalam.
Beliau berkata, kejohanan berlangsung selama tiga hari dengan dua hari pertama melibatkan sesi pagi dan petang, manakala hari terakhir membabitkan 36 peserta yang layak, kategori wanita dan kategori tetamu jemputan.
“Kategori tetamu jemputan akan disertai menteri, wakil badan korporat dan penaja, selain upacara memulakan permainan golf akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting.
“Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut dijangka hadir pada hari terakhir kejohanan bagi menyempurnakan penyampaian hadiah,” katanya.
Selain hadiah pukulan selubang, kejohanan turut menawarkan trofi dan hadiah bagi beberapa kategori pertandingan, dengan penyertaan dibuka kepada pemain yang mempunyai indeks handicap 16 dan ke bawah.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan badan korporat yang menyokong penganjuran kejohanan berkenaan, termasuk menyediakan enam kereta sebagai hadiah utama pukulan selubang.
Turut hadir Presiden Kelab Golf Sibu, Dato’ Sri Song Tiing Seng.
Oleh Akun Giman




