KANOWIT: Ketua masyarakat dan ketua kaum diminta supaya sentiasa memainkan peranan membantu memantau segala aktiviti dan projek yang dilaksanakan di kawasan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, mereka harus tampil melaporkan kepada pihak berkaitan jika projek dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi yang telah diluluskan harus.
“Ini adalah untuk memastikan agar semua projek yang dilaksanakan dapat siap mengikut jadual dan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan. Ini penting agar negeri kita dikenali sebagai sebuah negeri yang berintergriti tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Integriti Siri 2/2020 telah berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, semalam.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talip Zulpilip.
Allan turut menyatakan bahawa komunikasi dan interaksi dengan rakyat memainkan peranan yang amat penting.
“Ia menuntut agar semua pemimpin di semua sektor termasuk di peringkat pelaksana mahupun pemimpin masyarakat harus berada di landasan komunikasi yang sama agar dapat melihat dan berfikir dari perspektif yang sama,” ujarnya.
Turut hadir, ADUN Ngemah, Alexander Vincent, Pegawai Daerah Kanowit, Paul Murphy Ningkan serta yang lain.
Oleh Akun Giman