KABONG: Pantai Tanjung Kembang di sini akan dibangunkan sebagai lokasi percutian dan pelancongan baharu bagi menarik kehadiran pelancong luar ke daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata pembinaaan kemudahan infrastruktur yang baik di kawasan tepi pantai Tanjung Kembang boleh dijadikan tempat riadah, mampu menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negara.
“Kalau kita lihat, Kabong mempunyai pantai yang menarik dan boleh dimajukan sebagai tempat riadah dan pusat peranginan untuk menarik pelancong luar dan dalam datang ke sini.
“Dengan terbangunnya kemudahan infrastruktur Pantai Tanjung Kembang ini kelak, saya yakin ia bakal menjadi salah satu pusat peranginan yang sama taraf dengan pantai di daerah yang lain,” katanya ketika berucap semasa mempengerusikan Mesyuarat Perancangan Pembangunan Pelancongan Pantai Tanjung Kembang, Kabong di sini semalam.
Dalam mesyuarat berkenaan, Majlis Daerah Saratok menyokong penuh Perancangan Pembangunan Pantai Tanjung Kembang yang dibentangkan oleh Syarikat TAWOKA Sdn. Bhd.
TAWOKA Sdn. Bhd. meletakkan sasaran tahun 2021-2035 sebagai garis ukur terhadap perancangan itu dan mengilhamkan Pantai Tanjung Kembang sebagai destinasi mesra pelancong.
“Dengan perancangan yang ditetapkan oleh TAWOKA Sdn. Bhd., saya yakin Pantai Tanjung Kembang mampu membangun dan pengurusan yang lebih sistematik lagi selari dengan hasrat untuk menjadikan pantai ini berkembang dan menjadi salah sebuah destinasi paling popular di negeri ini.
“Sekali gus merealisasikan hasrat untuk menjadikan daerah Kabong sebagai ‘Bandar Pelancongan’ pada masa hadapan,” ujarnya.
Jelas Chee Kadir, Pantai Tanjung Kembang bakal dibangunkan secara berperingkat-peringkat dalam usaha menjadikannya sebagai lokasi yang mampu menarik kedatangan ramai pengunjung.
“Pembinaan infrastruktur di pantai tersebut seperti Dewan Serbaguna, gelanggang serbaguna, mini taman tema air, surau, rumah penginapan (chalet), gerai jualan dan tandas kini memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.
Chee Kadir menjelaskan, Kerajaan Sarawak perlu mempergiatkan usaha untuk menerokai peluang pelancongan di daerah Kabong agar lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke kawasan itu.
“Justeru, pembangunan pantai di sini harus diambil perhatian bagi menjadikan daerah Kabong satu produk pelancongan yang harus dilawati di negeri ini,” ujar beliau.