SARIKEI: Pameran Digital sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka bagi Peringkat Bahagian Sarikei mendapat sambutan luar jangka yang amat baik daripada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, sasaran awal adalah seramai 5,000 pengunjung melawat pameran digital tersebut.
“Alhamdulillah, setakat ini ia mencatatkan jumlah pengunjung seramai 9,170 orang pengunjung melawat pameran digital.
“Pameran digital ini merupakan satu pendekatan Kerajaan Sarawak untuk berkongsi sumber maklumat terkini untuk rakyat mengenali dan memahami bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Majlis Penghargaan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka Bahagian Sarikei bertempat di Dewan Sri Nyelong, malam tadi.
Tambahnya, objektif program Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanah air di kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum, bangsa dan agama di seluruh Sarawak.
“Konvoi Kembara Sarawak Merdeka menjelajah 12 bahagian dan 60 daerah di Sarawak bermula di Lawas, Limbang hingga ke Padang Merdeka, Kuching.
“Jarak sepanjang jalajah ini adalah 3,153 kilometer dan mengambil masa selama 56 hari dan akan disertai kira-kira 2,262 peserta seluruh Sarawak,” katanya.
Turut hadir, Residen Sarikei Michael Ronnie Langgong dan Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakil kepada Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Oleh Earl Anek