
KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Kelihatan orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup separuh muka bagi pencegahan COVID-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota hari ini.?Pada 23 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai 1 Ogos pelitup separuh muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.?Kegagalan mematuhi peraturan baharu ini boleh di denda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).?--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Bermula Sabtu lepas, 1 Ogos 2020, masyarakat telah mula memakai pelitup muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak Covid -19.
Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaharu itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu turut mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan masing-masing.
Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid -19, selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi rakyat.
Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baharu masyarakat ketika berada di tempat awam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.
Kata Dr Noor Hisham, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan Covid -19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan. — Bernama