PETALING JAYA, 5 Oktober: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh kerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memastikan graduan universiti, politeknik dan kolej komuniti mendapat pekerjaan yang selaras dengan kelayakan akademik masing-masing, sekali gus menangani isu guna tenaga tidak penuh di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik, khususnya antara KPT, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia, selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan ribuan graduan yang dilahirkan setiap tahun dapat dipadankan dengan bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan serta keperluan pasaran semasa.
“Antara langkah yang dibuat oleh pihak KPT adalah bekerjasama rapat antara kementerian-kementerian utama ini bagi memastikan mereka yang keluar daripada universiti mahupun politeknik dapat diselaraskan bidang pekerjaan mengikut kelayakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia 2026 di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Sambutan Hari Akademia diraikan pada 5 Oktober setiap tahun sejak diumumkan kerajaan pada 2019 sebagai pengiktirafan dan penghargaan ke atas sumbangan para akademia, sarjana, penyelidik serta warga intelektual dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Zambry ketika mengulas mengenai gaji graduan berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan mendapat perhatian khusus Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan langkah pelarasan gaji yang akan diumumkan kelak.
Dalam pada itu, beliau berkata KPT terus berusaha memudah cara urusan warga akademia dan memansuhkan sebarang kekangan yang boleh membantutkan perkembangan penyelidikan serta pemindahan ilmu.
Menurut Zambry, fokus utama adalah untuk menterjemahkan hasil penyelidikan dan inovasi di universiti agar dapat dimanfaatkan terus oleh masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Mengenai harapan KPT bagi Belanjawan negara yang bakal dibentangkan, beliau berharap ada pertambahan peruntukan, terutama bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan.
“Kita perlu melihat aspek kebajikan pelajar, terutama kemudahan asas, penyelenggaraan dan baik pulih premis penginapan di universiti, politeknik serta kolej komuniti yang memerlukan perhatian segera,” katanya. – Bernama




