JUARA Grand Slam dua kali, Naomi Osaka menempah tempat di suku akhir Terbuka AS semalam dengan kemenangan straight-set ke atas pemain dari Estonia, Anett Kontaveit.
Osaka, pilihan keempat mengatasi rakan pilihan ke-14, 6-3, 6-4 dalam perlawanan lewat di Stadium Arthur Ashe yang kosong di Flushing Meadows.
Juara Terbuka AS 2018 berkata menjaga emosinya tetap menjadi kunci untuk menguasai pertandingan 1 jam 12 minit itu.
Kekecewaan berjaya mengatasi Osaka dalam pusingan sebelumnya ketika dia melemparkan raketnya ketika rehat.
Osaka berkata, dia tidak menyaksikan kejadian melibatkan Novak Djokovic pada hari sebelumnya ketika pemain itu disingkirkan daripada kejohanan kerana secara tidak sengaja memukul bola ke arah penjaga garisan setelah kalah satu permainan.
Dia tidur menjelang pertandingan malamnya tetapi setelah menyedarinya, dia berkata itu sebagai peringatan untuk tetap mengawal diri ketika berada di gelanggang.
Kontaveit bekerja keras untuk bertahan dalam pertandingan, menyelamatkan lima mata perlawanan sebelum Osaka menempah tempat dalam peringkat lapan pemain terakhir.
Osaka dari Jepun akan menentang Shelby Rogers yang berusia 27 tahun untuk mencari tempat di separuh akhir setelah pemain dari Amerika Syarikat itu mengejutkan pilihan keenam Petra Kvitova dalam tiga set semalam.
Osaka, keturunan Haiti dan Jepun, berjalan ke gelanggang dengan memakai topeng muka yang dihiasi dengan nama Trayvon Martin iaitu seorang pemuda kulit hitam yang tidak bersenjata yang ditembak dan dibunuh oleh anggota kejiranan berkulit putih di Florida pada tahun 2012.
Osaka, juara Terbuka Australia 2019, memakai topeng yang berbeza untuk menghormati mangsa ketidakadilan kaum dan kekejaman polis sepanjang kejohanan.
Dia sudah mengenakan penutup wajah dengan nama Breonna Taylor, Elijah McClain dan Ahmaud Arbery. – AFP