Mustapha cadang tubuh jawatankuasa khas teliti mekanisme tambah kerusi Parlimen

Facebook
WhatsApp
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud mencadangkan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) ditubuhkan bagi memperincikan kaedah pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu dicadang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, namun perkara tersebut masih pada peringkat perbincangan awal.

“Pertambahan bilangan ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak ini telah dijadikan agenda perbincangan dalam mesyuarat MTPMA63 dan juga mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, serta dibincang secara serius dan teliti dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Susulan iru, saya sendiri telah mengadakan perbincangan awal dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan input daripada SPR dan apa-apa tindakan yang perlu dibuat selepas ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang ingin tahu mekanisme dan langkah perundangan yang perlu dibuat bagi merealisasikan penambahan kerusi Parlimen dari kedua-dua negeri itu.

Mustapha berkata perkara tersebut akan terus dibincangkan dan dipantau dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang akan datang.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 13 daripada 26 perkara menerusi platform rundingan MTPMA63 telah dikategorikan sebagai selesai berdasarkan keputusan mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 pada 11 September lepas.

“Daripada 26 perkara itu juga, tiga perkara dikategorikan selesai sebahagiannya, lima perkara belum selesai dan lima lagi perkara diangkat ke peringkat tertinggi iaitu perbincangan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Beliau berkata antara perkara berkaitan MA63 yang dirujuk untuk perbincangan dan keputusan di peringkat tertinggi adalah berkaitan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, duti setem, Akta Laut Wilayah 2012 serta hak negeri ke atas pelantar benua.

Mustapha berkata Kerajaan MADANI beriltizam untuk menyegerakan penyelesaian semua perkara MA63, namun tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan tertakluk kepada proses perundangan berkaitan.

“Kerajaan MADANI teguh dengan komitmen untuk memastikan pelaksanaan MA63 direalisasikan secara berhemat, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan yang jitu,” katanya. – Bernama