BINTANGOR, 5 Oktober: Penggunaan resit pembayaran palsu dan kod QR antara taktik penipuan yang perlu diberi perhatian masyarakat ketika urusan transaksi kewangan bagi mengelak menjadi mangsa jenayah komersil.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, pendedahan mengenai modus operandi itu antara pengisian Program Ceramah Jenayah Komersial anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Kinchu, Sungai Mador semalam.
Katanya, program yang disertai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Meradong tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersil.
“Antara pengisian program adalah memberi penerangan berkaitan trend dan modus operandi terkini jenayah komersial dan fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
“Masyarakat turut diberikan penerangan mengenai saluran dan kemudahan yang boleh digunakan dalam usaha mencegah serta menangani penipuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, ia merangkumi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, aplikasi Whoscall, Portal Semak Mule dan kemudahan E-Book Jenayah Komersial.

“Program turut memberi kesedaran mengenai taktik penipuan pembayaran menggunakan resit palsu dan kod QR.
“Risalah dan bahan berkaitan pencegahan jenayah komersial turut diedarkan kepada masyarakat bagi membolehkan maklumat berkenaan dijadikan panduan,” katanya.
Tambahnya, selain penerangan secara formal, sesi sembang santai bersama masyarakat diadakan bagi berkongsi panduan dan langkah pencegahan supaya orang ramai lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan.
“Masyarakat turut memberikan respon positif serta menunjukkan minat untuk berkongsi maklumat dan E-Book JSJK bersama ahli keluarga, kenalan dan saudara-mara.
“Jangan mudah terpedaya. Sekiranya menjadi mangsa penipuan, segera hubungi NSRC di talian 997 dan buat laporan polis,” katanya lagi.
Katanya, penyebaran maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial kepada keluarga dan kenalan dapat membantu memperluas kesedaran masyarakat serta mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
Oleh Earl Anek



