MARUDI: Orang ramai kini boleh berulang-alik dari sini ke Miri dan sebaliknya pada bila-bila masa setelah siapnya jambatan Marudi.
Sebelum ini, pengguna terpaksa menggunakan feri yang khidmatnya berakhir pada jam 10 malam.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata keadaan kini sudah berubah.
“Dengan siapnya pembinaan Jambatan Marudi, orang ramai tidak lagi memerlukan perkhidmatan feri yang sebelum ini perlu menunggu tempoh agak lama.
“Malah orang ramai tidak lagi gusar balik dari Miri atau sebaliknya selepas jam 10 malam dan mereka boleh pergi dan balik pada bila-bila masa,” katanya.
Jambatan Marudi bernilai RM116.5 juta sepanjang 650 meter merentasi Batang Baram sudah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo hari ini melakukan majlis prapelancaran dan pembukaan jambatan itu di sini.
Dr Penguang berkata pembinaan jambatan Marudi telah siap sepenuhnya pada 18 Oktober lalu iaitu sembilan bulan mendahului jadual, disiapkan dalam tempoh 24 bulan daripada 32 bulan seperti di didalam kontrak.
Pembinaan jambatan Marudi bermula pada 20 Oktober 2022 dan dijangka siap pda 19 Jun 2025 selama 32 bulan.
Tiga lanjutan masa telah diluluskan dan menjadikan tarikh siap baharu ialah 14 Ogos 2025
Katanya, kejayaan ini disebabkan oleh komitmen tinggi daripada pihak kontraktor iaitu Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd dan pemantauan oleh pihak JKR dan konsultan.
Sehubungan itu beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak JKR dan juga kontraktor serta semua rakyat di kawasan Marudi, Telang Usan dan Mulu.
Katanya, jambatan Marudi mempunyai sejarah yang begitu berwarna-warni kerana projek yang gagal menjadi projek yang berjaya dibangukan.
Oleh JIKU JUGUONG