Empat lelaki ditahan curi komponen jentolak di Matu

Facebook
WhatsApp
EMPAT lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian bateri dan komponen jentolak di Kampung Loba Balu, Matu, pada 26 September lalu. Foto PDRM

DARO: Polis menahan empat lelaki, termasuk seorang warga Indonesia, kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian bateri dan komponen jentolak di Kampung Loba Balu, Matu, pada 26 September lalu.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 43 hingga 49 tahun.

“Pemeriksaan mendapati suspek warga Indonesia tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, dua suspek warga tempatan didakwa di Mahkamah Sarikei hari ini dan mengaku bersalah sebelum masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 bulan bermula dari tarikh tangkapan.

“Sementara itu, suspek warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan.

“Suspek berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman,” katanya.

Rahim berkata, seorang lagi suspek warga tempatan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kerana dikehendaki polis bagi membantu siasatan satu kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TARANI LANTING