LINGGA: Sebanyak 1,400 karton air minuman disumbangkan kepada penduduk, sekolah dan institusi setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga bagi membantu mereka menghadapi kesan kemarau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, bantuan berkenaan amat bermakna dalam memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas akibat kekurangan sumber air dapat dipenuhi.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,088 karton diperuntukkan kepada 544 pintu kediaman melibatkan 16 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kampung serta rumah panjang.
“Sebanyak 250 karton pula disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lingga dan SK Saint Dunstan untuk kegunaan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Air Minuman daripada Sarawak Water Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Dayang Noorazah berkata, sebanyak 50 karton turut disumbangkan kepada Masjid Al Hana Lingga, manakala 12 karton lagi disalurkan kepada Pejabat Daerah Lingga.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sarawak Water Sdn. Bhd. atas keprihatinan serta sumbangan yang disifatkan dapat membantu meringankan beban penduduk sepanjang musim kemarau.
Katanya, bantuan tersebut turut memerlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi, pemimpin tempatan dan komuniti dalam memastikan keperluan asas penduduk, sentiasa diberi perhatian.

Dayang Noorazah turut menghargai sokongan pemimpin tempatan, golongan belia, penduduk, Pejabat Daerah Lingga serta Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang hadir dan membantu menjayakan majlis penyerahan berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penyelarasan serta pengagihan sumbangan kepada penerima.
Menurutnya, kebajikan dan keperluan asas penduduk akan terus menjadi antara keutamaan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca kering yang memberi kesan kepada bekalan air.
“Kerjasama erat antara agensi dan pemimpin setempat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Oleh Adi Safarman





