SIBU: Tindakan pantas dan berani orang ramai berjaya menyelamatkan sebuah rumah dua tingkat daripada kebakaran longgokan barang lusuh di bawah anjung rumah terbabit di Kampung Bahagia Jaya, Teku malam semalam.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, pihaknya menerima panggilan jam 8.31 malam sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerah ke lokasi kejadian.
“Sampai dilokasi, didapati kebakaran melibatkan longgokan barangan yang diletakkan di bawah anjung rumah dua tingkat. Barangan lusuh yang terbakar adalah sofa, longgokan tayar terpakai serta bantal lusuh dan tidak melibatkan struktur rumah,” jelasnya.
Katanya, kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai lokasi.
“Komander operasi menjalankan pemeriksaan pada kawasan terlibat bagi memastikan tiada lagi punca-punca yang boleh menyebabkan kebakaran semula dan seterusnya mendapatkan gambar serta maklumat pemilik rumah untuk rekod.
“Tiada sebarang operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba dan setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.
Oleh Akun Giman