Gempa bumi lemah 3.5 magnitud berlaku di Ranau

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KOTA KINABALU, 3 Oktober: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku di kawasan Panginatan, Ranau pada 10.57 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa bumi itu dikesan pada koordinat 5.9 darjah utara dan 116.7 darjah timur, pada kedalaman 13 kilometer (km).

Menurut MetMalaysia, lokasi episentrum gempa bumi berkenaan terletak kira-kira 14 km di selatan Ranau.

“Kesan gegaran akibat kejadian berkenaan dilaporkan turut dirasai oleh penduduk di sekitar daerah Ranau dan kawasan berhampiran,” katanya.

MetMalaysia akan terus memantau perkembangan keadaan semasa susulan kejadian gempa bumi berkenaan.

Dalam pada itu, MetMalaysia memohon kerjasama orang awam yang merasai gegaran terbabit supaya mengisi borang soal selidik menerusi pautan rasmi di https://forms.gle/cYMVjU7DYeKBV3ZbA bagi membantu proses pengumpulan maklumat lapangan.

Ranau merupakan daerah di pedalaman Sabah yang terletak 106 km ke arah timur dari Kota Kinabalu dan menjadi lokasi Gunung Kinabalu. – Bernama