Sembilan cedera, kereta rempuh orang ramai di utara Sydney, Australia

Facebook
WhatsApp
SEMBILAN orang cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai di utara Sydney. Foto AGENSI

SYDNEY: Sembilan orang cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai di utara Sydney pada, mencetuskan tindak balas kecemasan utama, lapor Xinhua.

Polis berkata perkhidmatan kecemasan dipanggil kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan selepas sebuah kenderaan merempuh orang ramai di Newcastle, kira-kira 110 kilometer (km) ke utara Sydney.

Daily Telegraph melaporkan sembilan orang cedera termasuk dua dalam keadaan kritikal, dua cedera parah dan lima cedera ringan.

Pesakit kritikal ialah seorang bayi perempuan yang mengalami serangan jantung dan seorang lelaki yang patah kaki, lapor akhbar itu.

Polis berkata pemandu kenderaan itu ditahan di tempat kejadian.

Menurut Perbadanan Penyiaran Australia, orang ramai berkumpul bagi mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tempatan Newcastle Knights yang bertolak ke Sydney untuk beraksi pada final Liga Ragbi Kebangsaan pada malam Ahad.

Perdana Menteri New South Wales Chris Minns menyifatkan kejadian itu sebagai menyayat hati.

“Ingatan saya adalah bersama keluarga dan rakan orang tersayang yang terlibat atau cedera dalam nahas itu,” katanya.

“Kami melihat bagaimana insiden besar ini telah menyatukan Newcastle dan saya berharap seluruh masyarakat kekal bersatu ketika kami terus mengambil langkah tindak balas.”

The Newcastle Knights berkata dalam satu catatan di media sosial bahawa bas pasukan itu telah dilencongkan dari laluan yang dirancang kerana insiden besar. – Bernama