KUCHING: Orang ramai dijemput untuk menyertai Program Pembelian Balik Minyak Masak terpakai anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang akan berlangsung, 18 Januari ini.
DBKU menerusi satu hantaran Facebook memaklumkan program itu akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di tempat letak kereta di bawah jejambat Satok.
”Hantar minyak masak terpakai yang telah ditapis di tempat parkir kereta bawah flyover (jejambat) Satok dan terima bayaran berdasarkan berat minyak yang dikumpul.
”Bantu menjaga kebersihan alam sekitar dan berikan impak positif! Bawa minyak masak terpakai anda dan bersama-sama menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau,” katanya.
Sementara itu, DBKU pada masa sama, mengingatkan bahawa minyak masak terpakai perlu ditapis dan disimpan dalam bekas yang bersih dan kedap udara.