
KUCHING: Old Josephians’ Association (OJA) Kuching menyasarkan penyertaan lebih 1,500 pelari bagi edisi kesembilan Ora Et Labora Run yang akan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, Kuching.
Acara larian tahunan itu akan bermula pada 6.00 pagi dan terus menjadi platform pertemuan semula bekas guru, alumni serta komuniti Sekolah-Sekolah St Joseph untuk berkumpul, berinteraksi dan menyumbang kepada alma mater masing-masing.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden OJA, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, program tersebut bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi ruang memperkukuh hubungan antara generasi Josephian termasuk pelajar, alumni dan guru.
“Setiap tahun pada bulan Oktober, komuniti St Joseph termasuk SMK St Joseph, St Joseph’s Private School dan St Joseph’s International School akan berkumpul bersama dalam acara ini. Ia terbukti berjaya dan amat bermakna,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurut beliau, edisi 2025 mencatat penyertaan lebih 1,200 peserta dan pihaknya berharap jumlah itu dapat ditingkatkan pada tahun ini.
Dr Sim turut menekankan bahawa penganjuran larian itu memainkan peranan penting dalam usaha mengumpul dana bagi menyokong aktiviti kokurikulum sekolah-sekolah terbabit.
“Dengan ketiga-tiga sekolah berganding bahu, kita berharap jaringan yang lebih kukuh dan hubungan yang lebih erat dapat dibentuk dalam kalangan komuniti Josephian,” ujarnya.
Pada majlis pelancaran, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 masing-masing kepada SMK St Joseph dan St Joseph’s Private School hasil kutipan edisi terdahulu.
Selain itu, pihak sekolah turut memulakan pelaksanaan Pelan Induk Sekolah St Joseph yang bertujuan menaik taraf kemudahan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta memperkukuh kerjasama komuniti.
Kumpulan Class of ’77 yang diwakili Alvin Wee dan Peh Yaw Tin turut menyumbang RM11,000 bagi menyokong usaha kutipan dana pelan berkenaan.
Dr Sim turut menyeru semua alumni, Josephian serta sektor korporat untuk bersama-sama menyokong usaha mengumpul RM2 juta bagi projek naik taraf tersebut.
Larian ini menawarkan tiga kategori iaitu 1.4 kilometer jalan santai keluarga, 5 kilometer Fun Run dan 10 kilometer larian kompetitif.
Peserta yang menamatkan larian akan menerima medal finisher, manakala kategori 10 kilometer turut menawarkan hadiah wang tunai kepada 10 pelari terbaik.
Yuran penyertaan ditetapkan RM55 bagi kategori 1.4 kilometer dan 5 kilometer, manakala RM65 bagi kategori 10 kilometer. Setiap peserta akan menerima baju-T dan nombor bib.
Borang penyertaan boleh didapati di Revolution Run Borneo, Pusat Beli-Belah Green Heights serta sesi larian mingguan Kuching Happy Runners Club di Saradise setiap Rabu.
Pendaftaran dalam talian boleh dibuat melalui www.malaysiarunner.com.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Revolution Run Borneo di 082-459397 atau melayari laman web OJA di www.sjoba.org.my serta laman Facebook Old Josephians Association.