PETRA JAYA: Penggiat industri kreatif yang memerlukan bantuan pembiayaan diminta tampil memohon dana yang disediakan kerajaan, susulan persoalan netizen mengenai akses dan proses permohonan dana berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa saluran pembiayaan termasuk Dana Industri Kreatif Belia, namun sambutan daripada golongan sasaran masih rendah.
“Saya berharap mereka yang mahu mendapatkan dana ini, bukan kita yang perlu datang kepada mereka. Mereka perlu datang kepada kita,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Baitulmakmur 2, di sini hari ini.
“Kita mempunyai Dana Acara, Dana Industri Kreatif Belia Sarawak dan beberapa bentuk bantuan lain untuk golongan muda,” katanya.
Abdul Karim berkata, beliau agak kecewa dengan sambutan terhadap Dana Industri Kreatif Belia yang masih rendah walaupun dana berkenaan telah diwar-warkan kepada masyarakat.
“Kemungkinan mereka tidak mengetahui. Tetapi itu yang paling kita boleh lakukan. Pergilah ke laman sesawang kita, semuanya ada di situ,” katanya.
Sebelum ini, beberapa netizen mempersoalkan akses dan proses permohonan dana berkenaan, termasuk mendakwa pernah membuat permohonan tetapi tidak menerima maklum balas atau keputusan.
Ada juga yang mencadangkan supaya proses pendaftaran dan permohonan dipermudahkan serta kriteria diperjelaskan.
Abdul Karim berkata, Dana Industri Kreatif Belia turut dibuka kepada pelajar universiti, khususnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang mahu meningkatkan potensi diri.
“Kalau ada dalam kalangan media yang mempunyai minat dan bakat dalam industri kreatif serta mahu datang memohon, mereka juga boleh memohon kerana ia terbuka,” katanya.
Menurutnya, dana berkenaan diwujudkan selepas penggiat industri kreatif sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan bidang masing-masing.
Katanya, pada ketika itu, dana yang tersedia lebih tertumpu kepada bantuan kepada usahawan sehingga penggiat kreatif tidak mempunyai saluran pembiayaan yang sesuai.
“Apabila mereka datang berjumpa saya, saya terus memberitahu Premier bagaimana untuk membantu mereka. Jadi Premier berkata, saya akan wujudkan dana pusingan RM5 juta.
“Sepatutnya RM5 juta tahun pertama, RM5 juta tahun kedua,” katanya.
Abdul Karim menjelaskan, dana berkenaan bukan berbentuk pinjaman, sebaliknya merupakan bantuan secara terus kepada golongan yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Ini bukan pinjaman. Ia merupakan bantuan secara terus,” katanya.
Beliau berkata, setiap permohonan akan diterima dan diproses oleh kementerian sebelum dibawa kepada jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk pertimbangan.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap jawatankuasa yang menguruskan perkara ini. Kita mengadakan tiga mesyuarat setahun yang dipengerusikan oleh saya,” katanya.
Menurutnya, terdapat syarat kelayakan atau ujian kemampuan yang perlu dipenuhi, khususnya bagi Dana Industri Kreatif Belia yang terbuka kepada individu atau persatuan dalam kalangan golongan belia.
“Kalau orang berusia 50 tahun memohon, secara automatik ia akan ditolak kerana itu adalah syarat kelayakannya,” katanya.
Beliau berkata, ketika dana berkenaan diumumkan beberapa tahun lalu, kementerian menerima banyak panggilan daripada pihak yang ingin mendapatkan maklumat dan memohon bantuan, namun kebanyakannya daripada golongan usahawan.
“Ini menunjukkan bahawa usahawan lebih proaktif apabila melibatkan permohonan dana mudah,” katanya.
Abdul Karim berkata, penggiat dalam bidang kesenian yang mahu meningkatkan potensi diri mungkin terlalu sibuk dengan aktiviti masing-masing seperti teater dan muzik sehingga tidak menyedari peluang pembiayaan yang disediakan kerajaan.
“Mungkin mereka terlalu sibuk dalam teater, muzik dan sebagainya sehingga tidak melihat peluang yang ada untuk mereka meningkatkan lagi bidang masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, Dana Acara menunjukkan sambutan lebih baik apabila sebanyak 355 acara disokong sepanjang tahun lalu, hampir satu acara setiap hari.
“Bahagian itu tiada masalah. Tetapi Dana Industri Kreatif Belia yang memang untuk golongan muda, saya tertanya-tanya mengapa golongan muda tidak begitu memberikan respons,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menyemak semula perkara berkenaan bagi mengenal pasti sebab orang yang memohon tidak ada jawapan.
Oleh Shikin Mahmud





