KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS) bersama dengan pihak pengurusan UNIMAS yang diketuai oleh Naib Canselornya Profesor Datuk Dr. Kadim Mohamad Suaidi, semalam.
Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah wakil komuniti di Parlimen Satok yang diketuai oleh Samad Ghani dan Kaunselor Dzamalludin Zainudin dan Pusat Khidmat Batang Sadong yang diketuai oleh Bibianura dan Wan Asnawi Shah, Ahli Jawatankuasa Eksekutif UNIMAS dan Dekan serta pihak pengurusan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk lawatan ke tapak pelancongan dalam UNIMAS Edutourism seperti Makmal Anatomi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Jambatan Cinta, Galeri Seni di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Pavillion dan diakhiri dengan lawatan ke Makmal Nyata, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber yang merupakan lokasi pengajaran dan pembelajaran bagi program Pelancongan Biodiversiti.
Dengan adanya penubuhan Makmal Nyata, pihak Fakulti Sains dan Teknologi Sumber menyediakan satu platform latihan praktikal dan amali untuk memberi pengetahuan tambahan kepada ejen-ejen pelancongan, pemandu, komuniti setempat, dan pelajar sekolah swasta universiti dalam mengenalpasti biodiversiti dan fungsi flora dan fauna.
Ini akan memberi keyakinan yang lebih dalam naratif kepada mereka mengenai biodiversiti untuk ditawarkan kepada pelancong tempatan dan luar negara terutama pelancong-pelancong yang dikenali sebagai Bio-Vacationers.
Program Pelancongan Biodiversiti ini akan ditawarkan pada tahap Sijil dan Diploma Profesional selama enam bulan (Sijil) atau 12 bulan (Diploma).
Program ini akan memberi penekanan dalam kemahiran pengecaman fauna dan flora Borneo berserta fungsinya.
Para pelajar program ini juga akan didedahkan dengan jejak warisan Biodiversiti Alfred Russel Wallace, pengasas Teori Pemilihan Semulajadi yang mendapat ilham hasil kajian di Borneo.
Oleh Nur Ain Otsman