Lima maut dalam nahas pesawat kecil di Colombia

Facebook
WhatsApp
PASUKAN penyelamat menjalankan operasi pemulihan selepas pesawat kecil Cessna T206 yang membawa lima individu terhempas di kawasan hutan Choco, Colombia. Foto hiasan

BOGOTA: Presiden Colombia Abelardo de la Espriella pada Rabu mengesahkan kematian kesemua lima individu yang menaiki pesawat kecil yang terhempas pada Ahad semasa penerbangan dari Condoto ke lapangan terbang Guaymaral di Bogota.

“Malangnya, pihak berkuasa mengesahkan bahawa kesemua mereka ditemukan meninggal dunia. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang mereka pada saat yang penuh kesedihan ini,” kata De la Espriella di platform X, lapor Xinhua.

Pesawat Cessna T206 dengan nombor pendaftaran HK-4985 itu dilaporkan hilang di kawasan hutan Choco pada Ahad dan ditemukan pada Isnin di kawasan yang sukar diakses pada ketinggian kira-kira 2,700 meter.

Tentera Udara Colombia menyatakan sebuah helikopter UH-60 Angel membolehkan pasukan pemulihan memasuki kawasan tersebut untuk menjalankan pemeriksaan dan operasi pencarian.

Pasukan pengawal masyarakat orang asal turut mengerahkan anggota bagi membantu operasi pencarian di darat selepas kejadian itu dilaporkan.

Mangsa terdiri daripada juruterbang dan empat wanita yang sedang menjalankan misi kesihatan. – Bernama-Xinhua