
KABONG: Projek menaik taraf parkir kenderaan di Klinik Kesihatan Kabong yang bernilai RM200,000 melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah siap sepenuhnya baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata pelaksanaan projek naik taraf parkir kenderaan di klinik kesihatan itu menandakan permulaan rasmi kepada usaha peningkatan kemudahan infrastruktur kesihatan di konstituensi terbabit.
“Projek ini merupakan projek RTP tahun 2024, namun mula dilaksanakan pada Januari tahun ini dan sepatutnya siap pada 17 Mei nanti iaitu mendahului jadual asal.
“Peruntukan berjumlah RM200,0000 yang diperuntukkan bagi menaik taraf parkir ini adalah disebabkan kawasan parkir di Klinik Kesihatan Kabong yang sebelum ini tidak mencukupi untuk digunakan pada waktu kemuncak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis simbolik penyerahan projek siap parkir kenderaan Klinik Kesihatan Kabong dekat sini hari ini.
Chee Kadir berkata pelaksanaan projek ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada petugas kesihatan, tetapi juga kepada para pesakit dan pelawat yang menggunakan perkhidmatan Klinik Kesihatan Kabong secara harian.
Sementara itu, wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Betong pula menyatakan harapan agar projek ini dapat memberi manfaat dan sekali gus meningkatkan imej serta kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar seperti Kabong.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyampaikan geran projek khas kerajaan Sarawak kepada Kelab Sukan Dan Rekreasi Pejabat Residen Bahagian Betong berjumlah RM5,000.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Chase Miqail Kiri, Pegawai Menguasa Klinik Kesihatan Kabong, Dr Khairah Afira Rozali, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong, Bujang Lee, Penghulu Sani Mohd dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok.
Oleh Adi Safarman