KUALA LUMPUR: Sebuah filem Mesir yang sebahagiannya menjalani penggambaran di Malaysia pada Julai dijadualkan ditayangkan di kira-kira 500 pawagam di 25 negara di rantau Arab yang mempunyai kira-kira 492 juta penduduk, bulan depan.
Penerbit eksekutif Infinity Films Sdn Bhd Abdulrahman Suud berkata filem komedi aksi kekeluargaan yang sebelum ini dikenali sebagai Mr VIP, kini diberi judul Wanted By Family dan akan ditayangkan di pawagam di Mesir pada 7 Oktober.
“Pada 8 Oktober, filem itu akan ditayangkan di pawagam di rantau Arab, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Iraq dan Lubnan,” katanya kepada Bernama.
Wanted By Family, penerbitan bersama Infinity Films Sdn Bhd dari Malaysia dan Synergy Plus dari Mesir, mengisahkan seorang pengurus pasar raya dan keluarganya yang berdepan dengan pelbagai pengembaraan tidak dijangka.
Filem itu yang dibintangi pelakon terkenal Mesir Karim Abdel Aziz, pelakon Yasmine Sabri dan pelakon serta pelawak Mostafa Khater, diarahkan oleh Moataaz El Tony.
Bahan promosi filem itu seperti poster dan treler dikongsi secara meluas oleh syarikat penerbitan di negara Teluk menerusi akaun media sosial mereka sejak 22 September. Bahan promosi itu memaparkan mercu tanda ikonik Malaysia termasuk Menara Berkembar Petronas, Bangunan Sultan Abdul Samad dan panorama bandar raya Kuala Lumpur.
Berdasarkan komen yang diberikan, peminat filem berbahasa Arab di seluruh dunia teruja menantikan tayangan filem berkenaan.
“Tidak sabar menunggu,” kata pengguna Instagram, ysonly22, manakala seorang lagi pengguna, ahmed_amr2004, mengulas, “Ia akan mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Arab.”
Mengulas lanjut mengenai promosi filem itu, Abdulrahman berkata beliau percaya filem berkenaan mampu menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia apabila peminat filem di dunia Arab, khususnya peminat Karim dan Yasmine, tertarik untuk mengunjungi lokasi yang dipaparkan dalam Wanted By Family.
“Dan itulah matlamat Infinity Films, iaitu untuk mengetengahkan tarikan Malaysia dalam filem itu,” kata bekas pelakon kelahiran Mesir yang kini bergelar ahli perniagaan dan menjadikan Malaysia sebagai kediamannya sejak 30 tahun lepas.
Penggambaran selama sembilan hari di Malaysia yang berlangsung di sekitar Lembah Klang, dengan beberapa babak dirakam di Genting Highlands, merangkumi kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan filem itu.
Beliau berkata Malaysia dipilih kerana negara ini mempunyai banyak tarikan selain pasukan dari Mesir berasa selamat dan seperti berada di tempat sendiri ketika bekerja di sini.
Menurut Abdulrahman, perbincangan sedang dijalankan untuk menayangkan Wanted By Family di pawagam Malaysia.
Beliau berkata pihak produksi Mesir itu juga sudah merancang untuk menjalani penggambaran sebuah lagi filem di Malaysia bagi mengetengahkan beberapa destinasi lain di seluruh negara. – Bernama





