KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian baru-baru ini mengunjungi seorang mangsa strok, Mdm Thow, yang sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami pendarahan dalaman di otak.
Berikutan keadaan yang serius, Mdm Thow terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dengan sebahagian tempurung kepalanya dikeluarkan sementara bagi mengurangkan tekanan pada otak.
Selepas keadaannya stabil, bahagian tempurung kepala yang dikeluarkan itu dipasang semula oleh doktor baru-baru ini.
Kong berkata, Mdm Thow kini menghabiskan sebahagian besar masanya menjalani pemulihan di rumah dengan tekun melakukan latihan pergerakan tangan dan kaki serta menggunakan alat bantuan berjalan bagi mengembalikan kekuatan dan keupayaan bergerak secara berdikari.
Walaupun menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan,Mdm Thow masih belum mampu berjalan untuk tempoh lama dan memerlukan bantuan pergerakan, terutama ketika menghadiri rawatan susulan di hospital.
Memahami keperluannya, Kong membantu menguruskan pembelian sebuah kerusi roda baharu untuk Mdm Thow bagi memudahkannya bergerak dan menghadiri temu janji susulan di hospital.
“Saya kagum dengan keazaman dan ketabahan Mdm Thow. Walaupun berdepan cabaran besar, beliau terus cekal menjalani proses pemulihan setiap hari,” katanya.
Kong berharap kerusi roda berkenaan dapat meringankan kesukaran yang dihadapi Mdm Thow, selain berharap beliau terus menunjukkan perkembangan positif dalam mengembalikan kekuatan dan keupayaan bergerak dalam beberapa bulan akan datang.
Beliau berkata, usaha membantu anggota masyarakat yang berdepan kesukaran akan diteruskan kerana bantuan walaupun kecil mampu memberi makna besar dalam perjalanan pemulihan seseorang.
Oleh Connie Chieng




