Semua kelulusan lesen bunkering, permit dikendalikan MOT mulai 1 Februari 2027 – Loke

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (dua, kanan) menyampaikan dokumen Green Bunkering Regulatory Roadmap kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke (dua, kiri) pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2026 di sini, hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjadi agensi peneraju tunggal bagi meluluskan lesen bunkering dan permit berkaitan mulai 1 Februari, 2027, kata menterinya  Anthony Loke Siew Fook.

Beliau memaklumkan MOT sedang melaksana dan memperincikan proses berkenaan merentas kementerian selain mendapat kerjasama yang baik daripada jabatan dan agensi lain.

“Ini akan memacu pertumbuhan sektor bunker tempatan sekali gus menjana nilai ekonomi yang tinggi kepada negara.

“Pada masa yang sama, kami turut memberi tumpuan kepada bunkering hijau memandangkan kapal di seluruh dunia kini sedang mencari bahan api alternatif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 (MMW 2026) di sini hari ini.

MMW2026 yang berlangsung dari 29 September hingga 2 Oktober bertujuan memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara maritim yang progresif serta pusat logistik dan maritim yang berdaya saing di rantau Asia-Pasifik.

Program berkenaan dianjurkan oleh MOT dengan kerjasama strategik MISC Bhd dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) bertemakan “Daripada Aspirasi kepada Tindakan: Memacu Kecemerlangan Maritim”.

Loke menegaskan bahawa bunkering hijau merupakan sebahagian daripada komitmen di bawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dengan penggunaan bahan api yang lebih mesra alam seperti metanol, gas asli cecair (LNG) dan amonia kini digalakkan sebagai sebahagian daripada Matlamat Keamatan Karbon 2030 dan sasaran pelepasan Sifar Karbon 2050.

Terdahulu dalam ucapannya, Loke menegaskan semula keperluan terhadap rangka kerja kawal selia yang jelas serta proses kelulusan yang diyakini bagi industri berkenaan selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi hab bunkering Asia-Pasifik menjelang 2030.

“Ini akan memberi pengendali satu titik akauntabiliti tunggal dan menyokong keputusan yang lebih konsisten dari segi keselamatan, kualiti bahan api dan perlindungan alam sekitar.

“Pembaharuan ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas kami untuk membina sektor bunkering yang berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan perkapalan masa kini sekali gus mempersiapkan Malaysia bagi peralihan kepada bahan api maritim yang lebih bersih,” katanya.

Kementerian juga sedang memajukan inisiatif Bunkering Maritim Malaysia bagi membina ekosistem bahan api kapal yang lebih hijau dan lestari.

Loke berkata Malaysia juga sedang bekerjasama dengan Australia bagi membangunkan rangka kerja dasar dan undang-undang untuk bunkering hijau termasuk penggunaan bahan api yang lebih mesra alam.

Sementara itu, mengulas mengenai armada kapal Malaysia yang berkurangan, beliau memberitahu MOT menggalakkan pemilik kapal tempatan untuk membina lebih banyak kapal dan mendaftarkannya di bawah bendera Malaysia.

“Kami juga sedang memperkasa armada Malaysia dan bekerjasama bagi menggalakkan pembinaan lebih banyak kapal milik Malaysia.

“Ini juga akan mewujudkan satu industri tersendiri. Kami akan terus memacu pembangunan industri pembinaan kapal termasuk menambah bilangan limbungan kapal serta aktiviti pembinaan dan pembaikan kapal. Ini semua merupakan bidang penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor maritim kita,” tambahnya.- Bernama