MALUDAM: Projek menaik taraf jalan pesisir pantai di Kampung Triso sepanjang 11.82 kilometer (km) dijangka siap pada Disember 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata projek ini, dengan nilai kontrak sebanyak RM37,775,336.40, telah dimulakan dengan kerja-kerja awal pada 2 Disember 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan, iaitu pada 1 Disember 2026.
“Majlis yang diadakan ini menandakan permulaan kepada projek penting yang bertujuan menaik taraf dan menambah baik permukaan jalan sedia ada di jalan persisiran dari Kampung Triso ke Maludam.
“Dengan naik taraf kepada standard Jabatan Kerja Raya (JKR) R3, jalan ini bukan sahaja akan memperbaiki kualiti dan keselamatan infrastruktur tetapi juga memenuhi keperluan trafik yang dijangka meningkat selepas siapnya Jambatan Batang Lupar 1 dan Jambatan Batang Saribas.
“Projek ini adalah sebahagian daripada Projek Jalan Utama Kedua Sarawak yang bertujuan untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan rangkaian jalan utama di negeri ini,” kataya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf pemulihan jalan pesisir pantai dari Kampung Triso menuju Maludam dekat sini hari ini.
Dayang Noorazah berkata dengan pelaksanaan projek ini, beliau dapat menjangkakan pelbagai manfaat yang akan dinikmati oleh komuniti tempatan, antaranya adalah meningkatkan mobiliti.
“Pembinaan jalan ini akan menjadi penghubung utama antara Sebuyau, Triso, Maludam, Pusa dan kawasan sekitarnya, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan kebolehcapaian atau aksesibiliti.
“Selain itu, projek ini berupaya untuk memacu pembangunan ekonomi di kawasan Triso dan Maludam, infrastruktur yang lebih baik akan membuka peluang kepada pelancongan domestik, terutamanya melalui promosi produk dan kraftangan tempatan.
“Kita berharap lebih ramai pelancong akan berkunjung, membeli produk tempatan, dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk,” katanya.
“Projek ini juga dilaksanakan bertujuan sebagai jalan alternatif kepada Lebuhraya Pan-Borneo, jalan ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif yang strategik, menghubungkan Kuching dan Sibu, sekali gus mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama,” katanya.
Dayang Noorazah menjelaskan pelaksanaan sesuatu projek tidak pernah terlepas daripada cabaran, oleh itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk komuniti setempat, untuk memberikan sokongan penuh dalam memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang halangan besar.
Turut hadir ialah ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Timbalan Pengarah Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Josenthiana Manggie dan Jurutera JKR Bahagian Betong Ng Boon Tuan.
Oleh Adi Safarman