KUCHING, 31 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mempergiat usaha memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda menerusi pendidikan dan penglibatan aktif pelajar dalam amalan pengasingan sisa serta kitar semula.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, usaha memelihara kelestarian alam sekitar perlu bermula daripada amalan harian di rumah, sekolah dan kawasan kejiranan.
Menurutnya, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan penghasilan sisa melalui tindakan mudah seperti menggunakan semula barangan, mengasingkan bahan kitar semula dan mengelakkan pembaziran makanan.
“Di MBKS, kami bukan sahaja mengutip sisa dan memastikan kebersihan bandar terpelihara, malah membantu penduduk memahami kepentingan mengurangkan sisa serta mengasingkan bahan yang masih boleh digunakan atau dikitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Kitar Semula Sekolah bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 di Bilik Latihan MBKS, di sini, hari ini.

Wee berkata, MBKS melaksanakan beberapa inisiatif bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pengurusan sisa secara lebih mampan, antaranya program Bank Sampah, iBuyBack dan pengkomposan komuniti menggunakan kaedah Takakura.
Katanya, program Bank Sampah menggalakkan masyarakat mengasingkan dan mengumpulkan bahan kitar semula, manakala iBuyBack memanfaatkan teknologi bagi menyokong usaha berkenaan.
Selain itu, kaedah Takakura diperkenalkan bagi menukarkan sisa makanan yang sesuai kepada kompos, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
“Amalan mengurangkan penggunaan bahan baharu, menggunakan semula barangan dan mengitar semula bahan yang sesuai juga dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga serta sumber semula jadi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar mengamalkan langkah mudah seperti membawa botol air sendiri, menggunakan kedua-dua belah kertas, mengambil makanan mengikut keperluan serta mengasingkan bahan kitar semula mengikut panduan yang diberikan.
Dalam pada itu, beliau berharap ahli Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan dapat memainkan peranan sebagai penghubung antara MBKS dengan golongan pelajar lain bagi menyampaikan pandangan, pengalaman dan cabaran berkaitan amalan kitar semula di sekolah.
Katanya, penglibatan kanak-kanak dalam inisiatif Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak penting bagi memastikan suara dan pandangan mereka diambil kira dalam usaha mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, selamat dan sihat.
Seminar berkenaan turut menampilkan perkongsian mengenai inisiatif hijau MBKS dan program ‘Wise Up to Waste’ (Bijak Mengurus Sisa) oleh Sarawak Wastes Management Sdn Bhd, selain perbincangan kumpulan Green Stewards serta penyediaan Ikrar Pengaktifan Kelestarian Alam Sekitar oleh peserta.
Oleh Adele Rissa





