KUCHING: MyContent Distribution Sdn Bhd berjaya merangkul Anugerah Ekonomi Digital Premier Sarawak 2024 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.
Anugerah tersebut sekali gus menyaksikan syarikat produksi tempatan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 serta trofi.
Anugerah disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam IDECS ke-7 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, MyContent Distribution juga aktif dalam industri perfileman di Sarawak dengan memasar dan mengedarkan kandungan filem mereka ke platform penstriman antarabangsa seperti Netflix, Amazon Prime Video, dan Viu.
Selain itu, MyContent Distribution turut memenangi Anugerah Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (MSME).
Pada masa sama, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memenangi Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan dengan projek aplikasi mudah alih inovatif mereka, Evolving Brilliance Technologies Sdn Bhd meraih Anugerah Permulaan Teknologi melalui projek POMAS.
Selain itu, Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak menerima Anugerah Kerajaan Digital untuk inisiatif SCS Mobile+ dan Jabatan Hutan Sarawak diiktiraf dengan Anugerah Kelestarian atas projek Kempen Penghijauan Sarawak.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Anugerah Ekonomi Digital itu bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang bagi pemain yang menyumbang kepada usaha ekonomi digital Sarawak.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan, tetapi juga mencerminkan kepimpinan dan visi Premier Sarawak dalam memacu negeri ini ke arah masa depan serta inovasi digital.
“Ia juga melambangkan usaha beliau untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam transformasi digital dan memastikan kemajuan serta pembangunan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Tan Sri George Chan.
Bertemakan ‘Kecerdasan Buatan (AI) untuk Pembangunan Lestari,’ persidangan dua hari ini mengumpulkan pakar tempatan dan antarabangsa, pembuat dasar, serta ahli akademik untuk mengkaji peranan AI dalam memacu kelestarian dan memperkukuh ekonomi.
IDECS 2024 dianjurkan bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), dan SAINS serta mendapat sokongan penuh dari kerajaan Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal