Sarawak peruntuk RM16 juta sedia papan pintar di lebih 1,400 sekolah tahun depan

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 30 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM16 juta tahun depan bagi menyediakan kemudahan papan pintar di lebih 1,400 sekolah di seluruh negeri sebagai usaha memperkukuh sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan guru dan murid dapat memanfaatkan kemudahan teknologi digital dalam proses pembelajaran, khususnya bagi mata pelajaran berteraskan sains.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan gimik penyerahan papan pintar kepada 30 sekolah

Beliau berkata, setiap sekolah akan menerima kemudahan berkenaan dengan anggaran kos sekitar RM10,000 bagi sebuah papan pintar.

“Semua sekolah akan saya beri papan pintar. Harga papan pintar sekarang lebih kurang RM10,000. RM10,000 didarab dengan 1,400, insya-Allah tahun depan saya beri RM16 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Petra Jaya, hari ini.

Menurut Abang Johari, penggunaan papan pintar membolehkan guru berinteraksi dengan murid secara lebih berkesan selain memberi akses kepada pelbagai bahan pembelajaran digital, termasuk teori dan rajah bagi mata pelajaran tertentu.

Katanya, kemudahan itu juga boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh penguasaan murid dalam mata pelajaran penting seperti Matematik Tambahan, algebra, kimia dan fizik yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi baharu.

Beliau berkata, usaha menyediakan kemudahan tersebut perlu disokong dengan keupayaan guru mengendalikan teknologi berkenaan supaya penggunaannya benar-benar memberi manfaat kepada murid.

“Daripada guru, mereka boleh berinteraksi dengan anak murid, dan anak murid juga boleh mempelajari semua mata pelajaran penting melalui papan pintar.

“Ini memerlukan guru tahu bagaimana mengendalikannya,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan itu akan disediakan kepada sekolah di kawasan bandar dan luar bandar, dengan syarat mempunyai rangkaian internet bagi membolehkan akses kepada bahan pembelajaran dalam talian.

Abang Johari berkata, pelaburan dalam pendidikan penting bagi memastikan anak Sarawak mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk memenuhi keperluan industri baharu yang semakin berteraskan teknologi.

Oleh Shahrul Qaizat