SIMANGGANG: Muzik dan nyanyian bukan sekadar hiburan, sebaliknya mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat serta merapatkan perbezaan antara kaum, agama dan budaya.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, berkata muzik turut memainkan peranan penting dalam memupuk sikap saling menghormati, bekerjasama dan memahami antara satu sama lain.
Beliau berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan, kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia tidak harus dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara.
“Walaupun berbeza kaum, agama, bahasa dan budaya, kita berkongsi satu identiti; kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Doris berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Nyanyian Bahasa Mandarin Sekolah Menengah Sarawak Ke-30 dan Sekolah Rendah Sarawak Ke-21 di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Pada tahun ini, Persatuan Muzik Sri Aman sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah dan penganjur pertandingan berkenaan yang menghimpunkan hampir 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Sarawak.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Persatuan Muzik Sri Aman serta Majlis Nyanyian Sarawak atas komitmen berterusan dalam mencungkil bakat generasi muda.
Menurutnya, penganjuran pertandingan seumpama itu bukan sahaja menyediakan ruang kepada pelajar menyerlahkan bakat, malah membantu membina keyakinan diri dan membentuk disiplin.
Dalam masa yang sama, pertandingan tersebut turut menyemai kecintaan terhadap muzik dan nyanyian dalam kalangan generasi muda, sekali gus memastikan seni berkenaan terus berkembang di Sarawak.
Doris berkata Sri Aman sendiri menjadi contoh masyarakat berbilang kaum yang mampu hidup bersama dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati.
“Justeru, masa depan Sri Aman, Sarawak dan Malaysia harus kita bina bersama-sama,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur Kaunselor Tay Buan Wie, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Sri Aman Datuk Dr Ngu Piew Seng, Presiden Majlis Nyanyian Sarawak Johnny Pang dan Kapitan Datuk Lau Sie Lok yang mewakili Presiden Kehormat Kekal Majlis Nyanyian Sarawak.
Oleh Adi Safarman




