MUKAH: Mukah akan menjadi tuan rumah majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1446/2024M yang akan berlangsung pada 16 hingga 17 September 2024.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan satu perayaan Islam dan acara rasmi kerajaan Sarawak yang diadakan setiap tahun.
“Objektif sambutan bertujuan untuk mengingati kembali peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sebagai contoh teladan kepada semua umat Islam.
“Selain itu, objektif kedua adalah untuk meneliti sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menyemarakkan kasih sayang umat Islam terhadap insan yang mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah hari ini.
Menurutnya, antara acara iringan yang akan diadakan adalah Seminar ‘Lau Ka Na Bainana’, Mukah Berselawat, Forum Perdana Ehwal Islam, ceramah dan Farum Sempena Maulidur Rasul di Masjid dan Surau di setiap bahagian di Sarawak, Ziarah Perkampungan Saudara Kita, Pertandingan Memanah, Pertandingan TikTok Challenge Video Kreatif dan Pameran Realiti Maya (VR).
Katanya, dua majlis utama sempena sambutan tahun ini akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut dijangka hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Dr. Abdul Rahman berkata acara pertama adalah majlis Kesyukuran Maulidur Rasul yang akan diadakan pada Isnin, 16 September 2024 di Masjid Setia Raja.
“Majlis kedua adalah Majlis Perhimpunan dan perarakan Maulidur yang akan berlangsung pada Selasa, 17 September bertempat di Dataran Pehin Setia Raja Mukah,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Timbalan Residen Bahagian Mukah Safrie Saili. – EDISI UKAS