
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memainkan peranan yang penting sebagai barisan hadapan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan, selain melibatkan diri secara terus dengan masyarakat.
Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek berkata, ini memerlukan MPS mempunyai tadbir urus yang proaktif, cekap dan responsif kepada keperluan rakyat.
“Saya percaya dengan kerja berpasukan dan dedikasi yang kuat, kita boleh mengubah Sibu menjadi sebuah bandar yang progresif, bersih dan penuh dengan kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Raya Nostalgia 2025 anjuran MPS di Dewan Baitulmal Sibu, malam tadi.
Chieng turut memuji MPS kerana menganjurkan program bermakna, yang bukan sahaja memupuk perpaduan tetapi juga menghidupkan semula nilai tradisi dan budaya yang berharga.
“Perayaan seperti ini amat istimewa kerana ia mengingatkan kita tentang asal usul kita dan juga untuk mendekatkan orang ramai, walaupun dalam suasana yang lebih sederhana dan moden hari ini,” katanya beliau.
Berucap sama pada majlis tersebut, Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, majlis itu dianjurkan bagi memperkukuh semangat kemasyarakatan melalui inisiatif perayaan dan sosial.
“Tema Nostalgia Hari Raya ini mengimbau kembali kenangan kehidupan kampung yang lebih sederhana, malam yang damai tanpa gajet, hanya gelak tawa, cerita dan kasih sayang,” katanya.
Turut hadir Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Stanley Chiew, Temenggong Stanley Geramong, Setiausaha MPS Yong Ing Chu dan pengerusi penganjur majlis Kaunselor Raden Khairulzaman Raden Bustari.
Oleh Akun Giman