KUCHING, 29 Nov: Keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berada pada tahap baik dan terkawal, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak terus memantau aktiviti politik bagi memastikan semua program yang dianjurkan mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, polis menerima sebanyak 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik pada 28 November lalu.
Semua program dan aktiviti politik yang diluluskan akan dipantau bagi memastikan penganjurannya berjalan mengikut peruntukan undang-undang.
Dari aspek penguatkuasaan, beliau berkata polis menerima dua laporan pada 28 November lalu dan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Satu lagi laporan polis telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, PDRM Sarawak akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan PRN Sarawak ke-13 berlangsung dengan aman, harmoni dan teratur.
Oleh Connie Chieng




