Menang tanpa bertanding bukan alasan berehat, Nancy ingatkan wakil rakyat

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 di Dataran Long Beach, Kampung Pasir hari ini.

SANTUBONG, 29 Nov: Kemenangan 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu dibalas menerusi khidmat dan tanggungjawab kepada rakyat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kemenangan itu membabitkan 27 calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan dua calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Beliau berkata, pihaknya bersyukur dengan perkembangan itu dan menghargai sokongan serta usaha keras semua pihak yang telah membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya.

“Memang lebih menarik kalau ada pertandingan, tetapi apabila kita berada di pusat penamaan calon dan tiada pihak yang datang untuk mendaftar sebagai calon, kita bersyukurlah.

“Ada yang mengatakan proses demokrasi kita sudah hilang, tetapi sebenarnya kita telah melalui proses demokrasi dan semua proses telah dipatuhi. Kalau mereka tidak mahu bertanding, apa yang boleh kita lakukan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 di Dataran Pantai Panjang, Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Menurut Nancy, kemenangan tanpa bertanding itu merupakan satu perkembangan bersejarah bukan sahaja untuk Sarawak, malah Malaysia, berdasarkan jumlah 29 calon yang diumumkan menang tanpa pertandingan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kemenangan berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai alasan untuk mengurangkan usaha mendekati rakyat, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kemenangan ini datang dengan tanggungjawab. Kita perlu memberi kembali kepada rakyat,” katanya.

Mengulas faktor yang mungkin menyebabkan parti lain tidak meletakkan calon di beberapa kawasan, Nancy berkata, prestasi kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mungkin menjadi antara perkara yang menyukarkan pihak lawan untuk menawarkan saingan.

Beliau berkata, pelaksanaan projek pembangunan termasuk pembinaan 22 jambatan serta pelbagai inisiatif bantuan ekonomi kepada rakyat menjadi antara usaha kerajaan negeri yang dapat dilihat dan dirasai masyarakat.

“Premier tidak hanya berjanji, tetapi membuktikan bahawa beliau akan melakukan sesuatu untuk rakyat.

“Ini memberikan keyakinan kepada rakyat, selain insentif ekonomi yang membantu mereka, termasuk bantuan berkaitan ibu bersalin, anak yang dilahirkan serta kos sara hidup melalui skim yang dianjurkan kerajaan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, program mendekati masyarakat tetap diteruskan walaupun calon di beberapa kawasan telah menang tanpa bertanding.

Katanya, beliau masih mempunyai beberapa program di kawasan sendiri dan akan turut mengunjungi kawasan lain yang masih menyaksikan pertandingan, termasuk kawasan yang menampilkan calon wanita baharu.

“Kita tidak mahu menghampakan rakyat. Mereka masih perlu menikmati program yang kita sediakan untuk mereka.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang selama ini bersama kita dan berharap amalan positif ini dapat diteruskan untuk negeri Sarawak,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud